Thursday, June 25, 2009

Bentuk Perniagaan dan Justifikasi


Acahnet Enterprise adalah sebuah perniagaan berbentuk milikan tunggal. Perniagaan milikan tunggal adalah perniagaan yang dijalankan oleh individu dan dimiliki sepenuh oleh individu. Oleh kerana ia adalah milik individu, maka pemilik perniagaan mempunyai kuasa mutlak untuk mengawal perjalanan dan operasi perniagaannya. Pemilik dan perniagaan atau organisasi peniagaannya adalah dirujuk sebagai satu entiti yang sama. Tiada pemisahan antara keduanya. Ini bermakna aset perniagaan adalah juga harta individu iaitu pemilik perniagaan tersebut. Oleh yang demikian, sebarang masalah yang melibatkan perniagaan adalah secara langsung melibatkan kepentingan individu atau pemilik.

Perniagan milikan tunggal mempunyai liabiliti tidak terhad. Jika perniagaan memperoleh keuntungan maka keuntungan tersebut adalah harta peribadi pemilik. Sebaliknya jika perniagaan mengalami kerugian maka kerugian tersebut juga adalah kerugian atau kehilangan harta pemiliknya. Justeru itu, dalam perniagaan milikan tunggal, liabiliti pemilik adalah tidak terhad. Ini bermakna, sekiranya perniagaan mempunyai hutang yang tidak dapat dijelaskan kerana mengalami kerugian, maka pemberi hutang berhak menuntut harta peribadi pemilik perniagaan sebagai bayaran ganti kepada hutang perniagaan yang tidak dapat dilangsaikan itu.

Perniagaan milikan tunggal amat mudah untuk ditubuhkan. Apabila seseorang membuat keputusan untuk membuka perniagaan, maka sebenarnya dia telah menubuhkan perniagaan tunggal sebaik sahaja dia memulakan perniagaan tersebut. Walau bagaimanapun, mana-mana individu yang hendak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan akan terikat dengan undang-undang tertentu yang menghendakinya untuk mendaftarkan perniagaannya dan mendapatkan lesen sebelum memulakan perniagaan tersebut.

Kebaikan – kebaikan yang ada dalam perniagaan milikan tunggal ada seperti berikut :
• Mudah ditubuhkan
• Pemilik mempunyai kuasa mutlak untuk mengawal perniagaannya
• Sebarang keputusan yang melibatkan perniagaan dapat diputuskan dengan serta merta kerana pemilik tidak perlu merujuk atau berbincang dengan orang lain
• Struktur cukai beradasarkan cukai pendapat individu (pemilik)
• Tidak memerlukan laporan kewangan yang kompleks

Sebagai kesimpulannya perniagaan milikan tunggal adalah entiti perniagaan yang paling asas yang hanya melibatkan seorang individu sebagai pemilik. Perniagaan jenis ini mudah ditubuhkan, tidak memerlukan modal yang besar tetapi sukar untuk berkembang. Sesuatu perniagaan tunggal akan terbubar dengan sendirinya apabila pemiliknya meninggal dunia. Perniagaan tunggal juga akan bubar apabila pemiliknya tidak lagi menjalankan perniagaannya


2 comments: